Dalam satu lawatan perniagaan, suami saya baru sahaja masuk ke dalam bilik hotelnya apabila dia mendengar bunyi bising yang ganjil. Maka dia pergi ke luar biliknya untuk memeriksa dan dia terdengar seseorang sedang berteriak dari sebuah bilik berdekatan. Dengan pertolongan seorang pekerja hotel, dia mendapat tahu bahawa terdapat seorang penghuni telah terperangkap dalam bilik mandi. Kunci bilik mandi itu rosak dan orang yang terperangkap di dalam mula berasa panik. Dia berasa dia tidak dapat bernafas dan mula berteriak meminta tolong.

Kadang-kadang dalam hidup ini, kita berasa terperangkap. Kita menghentam pintu, memutarkan tombol pintu tetapi kita tidak dapat membebaskan diri. Kita memerlukan pertolongan dari luar seperti orang yang terperangkap di dalam bilik hotel tadi.

Untuk mendapat pertolongan dari luar, kita harus mengakui bahawa diri kita tidak berkemampuan. Kadang-kadang kita memeriksa dengan mendalam untuk mencari jawapan bagi masalah-masalah kita, namun Alkitab berkata “hati manusia lebih licik” (Yeremia 17:9). Sebenarnya, kita sering kali menjadi penyebab masalah dalam hidup kita.

Syukurnya, “Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya” (1 Yohanes 3:20). Oleh sebab itu, Dia tahu cara yang terbaik untuk menolong kita. Hanya Tuhan dapat mengubah hati kita sepenuhnya dan betul-betul mengatasi masalah-masalah kita. Maka percayalah kepada Dia dan hidup untuk menyenangkan-Nya, barulah kita akan benar-benar dapat mendapat kebebasan.