Di kaunter daftar masuk bagi Kenya Airways, saya menyerahkan pasport saya untuk pengesahan. Apabila para petugas memeriksa nama saya dalam senarai nama penumpang mereka, nama saya tidak dapat dicari. Apa masalahnya? Rupa-rupanya saya telah membuat tempahan tiket penerbangan berlebihan dan tidak membuat pengesahan tempat duduk terlebih dahulu. Harapan saya untuk balik ke rumah pada hari itu berkecai.
Peristiwa itu mengingatkan saya tentang satu lagi senarai nama, iaitu Kitab Orang Hidup. Dalam Lukas 10, Yesus mengutus para pengikut-Nya dalam satu misi penginjilan. Sekembali dari misi itu mereka dengan sukacita melaporkan keberhasilan mereka. Namun Yesus memberitahu mereka: “Janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga” (ayat 20). Fokus sukacita kita bukan setakat pada kejayaan kita tetapi kerana nama kita sudah tertulis dalam buku Tuhan.
Namun bagaimanakah kita boleh yakin bahawa nama kita tercatat dalam buku itu? Firman Tuhan memberitahu kita, “Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa ‘Yesus itu Tuhan,’ dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan” (Roma 10:9).
Dalam Wahyu 21, Yohanes memberikan gambaran yang luar biasa berkenaan Kota Kudus yang tersedia untuk semua orang yang percaya kepada Kristus. Kemudian dia menulis, “Tetapi segala sesuatu yang najis tidak akan masuk ke kota itu, demikian juga orang yang melakukan perkara-perkara memalukan, dan orang yang berdusta. Hanya orang yang nama mereka tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu” (ayat 27).
Kitab Orang Hidup adalah senarai nama di syurga. Adakah nama anda tertulis di dalamnya?