C. S. Lewis dan abangnya, Warren (Warnie) pernah mengalami beberapa penggal yang sukar di Wynyard, sebuah sekolah berasrama Inggeris bagi budak-budak lelaki. Guru besarnya seorang yang kejam telah menimbulkan pengalaman yang tidak mesra dalam kehidupan setiap pelajar. Beberapa puluh tahun kemudian, Warnie menulis, “Saya sekarang sudah berumur lebih daripada enam puluh empat tahun, ketika saya merenungkan masa persekolahan, saya berasa terhibur kerana tiada pengalaman hidup saya yang lebih sukar ditangani jika berbanding dengan waktu saya berada di Wynyard.” Kebanyakan kita dapat mengingat masa yang gelap dan kesukaran dalam hidup kita, malah bersyukur bahawa keadaan kita lebih baik pada hari ini jika berbanding dengan masa lampau.

Mazmur 40:1-5 merekodkan satu titik rendah dalam kehidupan Daud apabila dia berseru kepada Tuhan untuk menyelamatkannya. Tuhan menariknya dari “lubang yang berbahaya,” “paya yang berlumpur” dan meletakkan dia di atas batu (ayat 3). “Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru,” kata Daud, “lagu pujian untuk Allah kita” (ayat 4).

Namun penghiburan daripada kemurungan dan kesedihan bukan kejadian yang hanya berlaku sekali. Mazmur 40 diteruskan dengan Daud yang terus-menerus meminta belas kasihan, kasih setia dan kebenaran Tuhan untuk melepaskan dia daripada dosanya sendiri dan ancaman-ancaman musuhnya (ayat 11-14).

Kita boleh berkata seperti Daud pada titik rendah hidup kita, “Aku lemah dan tidak berdaya; tetapi Engkau, ya Tuhan, mengingati aku. Engkaulah penolong dan penyelamatku” (ayat 18).