Menurut sebuah artikel dalam surat khabar New York Times, kanak-kanak di kebanyakan negara Afrika sering kali diberi nama sempena orang terkenal, acara khas, atau situasi yang bermakna bagi ibu bapa anak tersebut. Apabila beberapa doktor memberitahu sepasang ibu bapa bahawa mereka tidak dapat menyembuhkan penyakit bayi ibu bapa tersebut, dan hanya Tuhan yang mengetahui sama ada anak itu akan hidup atau tidak, ibu bapa bayi itu menamakannya Godknows (Tuhan mengetahui). Seorang lagi lelaki memberitahu bahawa namanya adalah Enough (Cukup), kerana ibunya mempunyai 13 orang anak, dan dia adalah anak yang terakhir! Sememangnya setiap nama yang diberi mempunyai sebab, dan dalam beberapa kes tertentu, nama itu mempunyai maksud yang istimewa.
Sebelum kelahiran Yesus, seorang malaikat Tuhan memberitahu Yusuf, “Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:21). Nama Yesus adalah Yosua dalam bahasa Yunani, yang bermaksud “Tuhan menyelamatkan.” Pada zaman itu, ramai kanak-kanak mungkin dinamakan Yesus, tetapi hanya seorang yang telah datang ke bumi untuk mati bagi kita agar setiap orang yang menerima-Nya akan hidup kekal, diampuni serta dibebaskan daripada kuasa dosa.
Charles Wesley menulis kata-kata yang sering kita nyanyikan ini apabila musim Krismas menjelang: “Datanglah, Yesus yang lama dinantikan, dilahirkan untuk membebaskan umat-Nya; melepaskan kita daripada ketakutan dan dosa; Engkau memberikan ketenangan kepada semua.”
Yesus datang untuk mengeluarkan kita dari kegelapan lalu menuju terang, mengubah kekecewaan kita kepada pengharapan, dan menyelamatkan kita daripada dosa.
—Dia datang untuk menyelamatkan kita.