Puak Akan dari Ghana mempunyai satu kata peribahasa: “Cicak tidak begitu marah kepada anak-anak lelaki yang melempar batu ke arahnya, tetapi lebih marah kepada mereka yang berdiri di tepi malah mentertawakan nasibnya!” Bersukacita atas kecelakaan seseorang adalah seperti anda turut serta dalam kejatuhan seseorang, atau seperti anda mengharapkan lebih banyak kejahatan menimpa orang itu.
Begitulah sikap orang Amon yang bersukacita dengan niat jahat apabila Rumah Tuhan di Yerusalem “ … dinajiskan, negeri Israel dimusnahkan, dan penduduk Yehuda dibuang negeri” (Yehezkiel 25:3). Oleh sebab mereka secara busuk hati bersukacita atas kemusnahan Israel, orang Amon mengalami kemurkaan Tuhan, yang mendatangkan kesan buruk (ayat 4-7).
Bagaimanakah reaksi kita sekiranya kesusahan atau kesukaran menimpa jiran kita? Jika dia seorang jiran yang baik hati dan peramah, sudah pasti kita akan turut bersimpati terhadapnya lalu menolongnya. Namun bagaimanakah sekiranya dia seorang jiran yang tidak peramah serta suka mencari masalah? Reaksi asal kita selalunya mungkin tidak mempedulikannya atau secara tersembunyi bersukacita atas kesusahannya.
Amsal memberi amaran kepada kita: “Jangan bersukacita apabila musuhmu kena celaka, dan jangan tertawa apabila dia jatuh” (24:17). Sebaliknya, Yesus memberitahu kita bahawa kita menunjukkan kasih-Nya apabila kita “[mengasihi] musuh [kita] dan berdoalah bagi orang yang menganiaya [kita]” (Matius 5:44). Dengan melakukan sedemikian, kita mencontohi kasih Tuhan kita yang mengasihi semua orang (5:48).
seperti anda mengasihi diri sendiri.