Krismas adalah masa tekanan memuncak dalam setahun. Kita mengimpikan perayaan berlangsung dengan lancar lalu berusaha untuk menjadikannya suatu kenyataan. Kita membeli-belah untuk mendapatkan hadiah-hadiah terbaik. Kita merancang acara makan Krismas yang sempurna. Kita memilih kad Krismas paling cantik serta menulis surat paling hebat mengenai berita keluarga. Namun usaha kita membuat kita berasa kecewa dan patah semangat apabila kebolehan kita tidak mencapai tahap sempurna yang diinginkan. Hadiah terbaik yang kita pilih tidak mendapat sambutan terima kasih yang sungguh-sungguh. Beberapa makanan yang dihidangkan terlebih masak. Kita menemui kesilapan ejaan dalam kad Krismas yang sudah dikirim. Anak-anak berebut alat permainan. Orang dewasa mula mengungkit pertengkaran lama.

Walau bagaimanapun, kita boleh menggunakan kekecewaan kita untuk mengingatkan kita tentang kepentingan Krismas, dan bukannya berasa patah semangat. Kita memerlukan Krismas kerana tiada seorang pun antara kita adalah sempurna—biarpun selama sebulan, seminggu atau sehari. Perayaan tentang kelahiran Kristus ini sememangnya akan menjadi lebih bermakna apabila kita berhenti untuk menjadi sempurna, lalu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kesempurnaan Penyelamat kita, Tuhan yang memungkinkan kita berbaik semula dengan Dia, melalui kepercayaan kita kepada Dia (Roma 3:22).

Sekiranya perayaan Krismas tahun ini tidak seperti yang diharapkan, bertenanglah dan biarlah ia menjadi peringatan kepada kita bahawa satu-satunya cara untuk “disempurnakan selama-lamanya” (Ibrani 10:14) adalah hidup beriman dalam kebenaran Kristus.