Selepas Asamoah Gyan, yang berasal dari Ghana, menjaringkan gol semasa berlawan dengan Jerman dalam Piala Dunia 2014, dia dan rakan-rakannya menari bersama-sama. Apabila pemain Jerman, Miroslav Klose menjaringkan gol beberapa minit kemudian, dia berlari lalu membuat lompatan putaran. “Meraihkan jaringan bola ini adalah menarik kerana ia menunjukkan perwatakan, ciri-ciri serta keghairahan para pemainnya,” kata Clint Mathis, yang pernah membuat jaringan untuk Amerika Syarikat dalam Piala Dunia tahun 2002.
Dalam Mazmur 150, pemazmur menjemput “semua makhluk yang hidup” untuk merayakan serta memuji Tuhan dengan pelbagai cara. Dia mencadangkan kita menggunakan trompet dan kecapi, gambus dan seruling, simbal dan tarian. Dia mendorong kita merayakan, menghormati serta mengasihi Tuhan dengan cara yang kreatif serta bersungguh-sungguh. Oleh sebab Tuhan adalah perkasa dan sudah melakukan perkara-perkara besar bagi umat-Nya, Dia layak menerima segala pujian. Persembahan pujian secara luaran ini akan timbul daripada perasaan syukur dalam hati kita kepada Tuhan. “Pujilah TUHAN, hai semua makhluk yang hidup,” pemazmur melaungkan (150:6).
Walaupun kita mungkin mempunyai cara-cara yang berbeza untuk memuji Tuhan (saya tidak menggalakkan anda membuat lompatan putaran pada masa pujian penyembahan), pujian kita kepada Tuhan mestilah sentiasa penuh dengan perasaan serta bermakna. Apabila kita memikirkan tentang sifat Tuhan dan perbuatan-Nya yang besar bagi kita, kita tidak dapat berhenti merayakan Dia melalui pujian dan penyembahan kita.