Semasa saya masih belajar di Sekolah Alkitab, saya dan sahabat saya, Charlie, bekerja di sebuah kedai perabot. Kami sering membuat penghantaran dengan diiringi oleh juruhias dalaman yang akan bercakap dengan para pembeli perabot, sementara kami mengangkat perabot tersebut masuk ke dalam rumah mereka. Adakalanya kami terpaksa membawa perabot dan menaiki tangga di dalam bangunan pangsapuri yang tinggi. Saya dan Charlie selalunya berfikir, alangkah baiknya jikalau kami yang mendapat jawatan juruhias dan bukannya penghantar!

Semasa umat Israel berada di kawasan gurun selama 40 tahun, tiga puak daripada suku Lewi—iaitu puak Kehat, Gerson dan Merari—telah diberi tugasan untuk mengangkat Khemah TUHAN. Mereka memasang, membuka kembali, lalu membawa Khemah TUHAN ke tempat lain, dan mengulang proses pemasangan tersebut banyak kali. Penghuraian kerja mereka adalah mudah: “Tiap-tiap orang diberikan tugas membawa benda-benda yang ditentukan” (lihat Bilangan 4:32).

Saya tertanya-tanya jika para “penjaga” ini pernah berasa iri hati terhadap para “paderi” yang mempersembahkan korban serta haruman menggunakan benda-benda sangat suci di dalam Bilik Suci (ayat 4-5,15). Tugas itu sememangnya kelihatan lebih mudah serta berprestij. Walau bagaimanapun, kedua-dua tugas tersebut adalah penting dan datang daripada Tuhan.

Sering kali kita tidak mendapat tugas atau pekerjaan yang kita inginkan. Namun kita semua boleh memilih sikap terhadap pelaksanaan tugas itu. Tindakan yang kita ambil untuk melakukan tugas yang diberi oleh Tuhan merupakan ukuran pelayanan kita terhadap-Nya.