Anjing kami, seekor anjing terrier putih West Highland yang tua selalu tidur di kaki katil kami. Di situlah tempat tidurnya selama 13 tahun.

Biasanya ia tidak akan bising atau bergerak-gerak semasa tidur, tetapi sejak akhir-akhir ini, ia selalu menyentuh kami secara lembut dengan kaki depannya pada tengah malam. Pada mulanya kami berfikir bahawa mungkin ia mahu keluar, oleh itu, kami cuba memenuhi kehendaknya. Namun akhirnya, kami menyedari bahawa ia cuma ingin memastikan bahawa kami masih berada di sana dengannya. Ia hampir pekak dan separuh buta sekarang. Ia tidak dapat melihat dalam kegelapan dan tidak dapat mendengar dengan jelas akan pergerakan atau pernafasan kami. Secara nalurinya, ia menjadi bingung lalu menghulurkan kaki depannya untuk merasai kami. Oleh itu, saya akan mengusap kepalanya untuk meyakinkan bahawa saya berada di sana. Itu sahaja yang anjing saya ingin tahu. Ia akan mencari kedudukan yang selesa, lalu kembali tidur.

“Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu?” Daud bertanya kepada Tuhan (Mazmur 139:7). Ayat seterusnya memberikan penghiburan besar kepada Daud. “Jika aku terbang ke ufuk timur, atau tinggal di hujung barat yang paling jauh, di sana juga Engkau akan memimpin aku … ” dia berkata. “ … namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap … ” (ayat 9-12).

Sesat dalam kegelapan? Berdukacita, takut, rasa bersalah, ragu-ragu, kecewa? Tidak pasti tentang Tuhan? Kegelapan tidak gelap bagi-Nya. Walaupun tidak kelihatan, Dia sentiasa ada. Dia pernah berkata, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu” (Ibrani 13:5). Hulurkan tangan anda kepada-Nya. Dia selalu ada.