Pada musim panas tahun 1861, isteri kepada Henry Wadsworth Longfellow, iaitu Frances, telah meninggal dunia dalam satu kebakaran yang tragik. Pada Krismas yang pertama tanpa kehadiran isteri, Henry menulis dalam diarinya, “Alangkah sedihnya musim cuti ini.” Tahun berikutnya keadaan masih sama, seperti yang direkodkan dalam diari, “ ‘Krismas adalah musim gembira,’ kata anak-anak, tetapi tidak lagi gembira bagi saya.”

Pada tahun 1863, sementara Perang Saudara Amerika berlanjutan, anak lelaki Longfellow telah menyertai pasukan tentera tanpa keizinan bapanya, dan mengalami cedera parah. Pada hari Krismas tahun itu, loceng gereja yang berbunyi mengingat-kan dia lagi tentang hari Krismas yang amat sedih, maka Longfellow mengambil pen lalu mula menulis puisi, “I heard the Bells on Christmas Day” (Saya Mendengar Loceng Berbunyi Pada Hari Krismas).

Puisi itu bermula dengan baik, penuh perasaan, tetapi kemudian menjadi kurang menyenangkan. Gambaran ganas pada rangkap keempat (bahagian paling penting), sememangnya tidak sesuai untuk sebuah lagu pada musim Krismas. Meriam yang “dikutuk” melepaskan tembakan bertubi-tubi, mempersendakan mesej kedamaian. Dalam rangkap kelima dan keenam, kemuraman Longfellow mencapai puncaknya. “Gempa bumi seolah-olah telah menggoncangkan pusat bumi,” dia menulis. Penulis puisi ini hampir berputus-asa: “Dalam kekecewaan aku menundukkan kepala; ‘Sesungguhnya tiada kedamaian di bumi,’ aku berkata.”

Bagaimanapun, dari jurang kesedihan hari Krismas itu, Longfellow telah mendengar keriangan yang tidak dapat ditahan dalam suara harapan. Lalu dia menulis rangkap ketujuh.

Lalu gema loceng menjadi dengan lebih kuat dan mendalam: “Tuhan tidak mati, Dia tidak tidur! Yang bersalah akan gagal, yang benar ditegakkan, dengan kedamaian di bumi, berbahagialah manusia!”

Perang tetap berlangsung, begitu juga dengan kenangan tragedi peribadi yang pahit, tetapi semua itu tidak dapat menghentikan Krismas. Penyelamat telah lahir! Dia berjanji, “Sekarang Aku menjadikan semuanya baru!” (Wahyu 21:5).