Tiada sesiapa pun dapat menanggung akibat daripada perang. Kini banyak negara sedang terlibat dalam konflik bersenjata. Bila dan bagaimanakah perang itu akan berakhir? Kita menginginkan kedamaian, tetapi tidak mahu keadilan dikorbankan.
Yesus dilahirkan pada zaman “kedamaian,” tetapi ia datang dengan penindasan yang sangat kejam. Pax Romana (“Damai Roma”) hanya wujud kerana Roma menghapuskan segala penentangan.
Tujuh kurun sebelum zaman kedamaian tersebut, pasukan tentera musuh sudah bersedia untuk menyerang Yerusalem. Ketika seluruh kota diancam di bawah bayangan peperangan, Tuhan telah membuat suatu pernyataan yang luar biasa. “Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang,” nabi berkata (Yesaya 9:1). “Seorang anak telah dilahirkan bagi kita! Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita! … Kekuasaan-Nya akan terus bertambah; pemerintahan-Nya akan sentiasa aman” (ayat 5-6). Matius memberitahu kita bahawa nubuat Yesaya telah menjadi kenyataan melalui kelahiran Kristus (Matius 1:22-23; lihat juga Yesaya 7:14).
Kita mengasihi bayi kecil yang berbaring di dalam palung. Namun bayi yang kelihatan lemah itu juga adalah Tuhan Perkasa, “TUHAN Yang Maha Kuasa” (Yesaya 13:13). Pada suatu hari nanti, “Dia akan memerintah sebagai ganti Raja Daud, pemerintahan-Nya akan berdasarkan hukum dan keadilan” (9:6). Pemerintah sedemikian sememangnya bukan Pax Romana yang menindas orang. Malah, ia merupakan zaman pemerintahan Raja Damai.