“The Little Drummer Boy” (Si Pemain Dram yang Kecil) adalah satu lagu Krismas terkenal yang ditulis pada tahun 1941. Pada asalnya lagu itu dikenali sebagai “Carol of the Drum” (Lagu Natal Dram) dan ditulis berdasarkan sebuah lagu tradisi orang berbangsa Czech. Walaupun tiada rujukan tentang seorang kanak-kanak lelaki yang bermain dram dalam cerita Krismas, iaitu catatan dalam kitab Matius 1–2 dan Lukas 2, maksud lagu tersebut terarah kepada makna sebenar menyembah. Lagu itu menceritakan seorang kanak-kanak lelaki dipanggil oleh ahli-ahli kaji bintang untuk pergi ke tempat kelahiran Yesus. Oleh sebab si pemain dram ini tidak mempunyai hadiah (seperti yang dibawakan oleh ahli-ahli kaji bintang)—dia memberikan apa yang dimilikinya. Dia mula bermain dram, sambil berkata, “Saya memberikan persembahan yang terbaik untuk Dia.”
Hal ini serupa dengan aspek penyembahan yang telah diceritakan Yesus dalam kisah balu dan dua keping mata wang tembaganya: “Yesus berkata, ‘Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya’ ” (Lukas 21:3-4).
Segala harta yang dimiliki oleh si pemain dram hanyalah dramnya, dan balu miskin dengan dua keping wang tembaganya, tetapi mereka tetap menyembah Tuhan yang layak menerima semuanya. Dia layak menerima segala yang kita miliki, kerana Dia sudah memberikan semua-Nya kepada kita.