Semasa cerita Charles Dickens yang bertajuk A Christmas Carol (Lagu Natal Krismas) bermula, suatu misteri menyelubungi watak Ebenezer Scrooge. Mengapakah dia begitu membenci Krismas? Bagaimanakah dia menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri? Kemudian, setelah roh-roh Krismas membawa Scrooge melalui kehidupannya sebelum ini, beberapa punca mengapa dia bersikap sebegitu menjadi jelas. Kita melihat pengaruh-pengaruh yang menjadikannya seorang kedekut walaupun pada asalnya dia seorang pemuda yang periang. Kita memerhatikan kesepian dan kekecewaannya. Apabila misteri tersebut diselesaikan, kita juga melihat jalan pemulihan. Oleh sebab dia bersikap prihatin terhadap orang lain, hal itu membuat Scrooge keluar dari keterasingannya lalu menuju jalan kegembiraan.
Satu misteri yang jauh lebih penting, dan sesuatu yang lebih sukar untuk dijelaskan, adalah seperti yang diceritakan oleh Paulus dalam 1 Timotius 3:16: “Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita: Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia, dan dinyatakan benar oleh Roh Allah, serta dilihat oleh para malaikat. Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa, dan Dia dipercayai di seluruh dunia, dan telah diangkat ke syurga.” Sungguh menakjubkan! Tuhan “menampakkan diri dengan rupa manusia.”
Misteri Krismas adalah bagaimana Tuhan dapat menjadi manusia walaupun pada masa yang sama, Dia masih adalah Tuhan. Hal ini melawan logik penjelasan manusia, tetapi dalam kebijaksanaan Tuhan yang sempurna, itu adalah rancangan-Nya dari dulu lagi.
“Siapakah anak ini?” Dialah Yesus Kristus—Tuhan yang telah menjelma sebagai manusia.