Apabila kita memberi sebuah hadiah yang mudah pecah, kita memastikan kotak bungkusan itu dilekatkan label penanda. Perkataan FRAGILE (mudah pecah) ditulis dalam huruf besar kerana kita tidak mahu sesiapa pun merosakkan benda dalam bungkusan tersebut.
Hadiah Tuhan kepada kita datang dalam bentuk yang paling mudah pecah: seorang bayi. Kadangkala kita membayangkan hari Krismas seperti suatu pemandangan indah pada sekeping poskad, tetapi setiap ibu boleh memberitahu anda bahawa perkara itu tidak benar. Maria berasa penat, mungkin juga ragu-ragu. Itu adalah anak pertamanya, dan Dia dilahirkan dalam keadaan persekitaran yang tidak bersih. “Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang” (Lukas 2:7).
Seorang bayi memerlukan penjagaan rapi. Bayi akan menangis, makan, tidur dan bergantung kepada penjaga mereka. Mereka tidak dapat membuat keputusan. Pada zaman Maria, risiko kematian bayi amat tinggi, dan ibu sering kali meninggal dunia semasa melahirkan bayi mereka.
Mengapakah Tuhan memilih jalan yang paling “mudah pecah” untuk mengutus Anak-Nya ke bumi? Kerana Yesus mesti menjadi seperti kita supaya Dia dapat menyelamatkan kita. Hadiah terbesar daripada Tuhan datang dalam bentuk tubuh seorang bayi yang lemah, tetapi Tuhan mengambil risiko ini kerana Dia mengasihi kita. Marilah kita bersyukur pada hari ini untuk hadiah yang istimewa itu!