Kisah klasik O Henry, bertajuk “The Gift of the Magi” (Hadiah daripada Ahli Kaji Bintang) menceritakan tentang Jim dan Della, pasangan suami dan isteri muda yang sedang bergelut dengan masalah kewangan. Semasa Krismas menjelang, mereka ingin saling memberikan hadiah yang istimewa, tetapi masalah kekurangan wang membuat mereka mengambil langkah drastik. Harta yang paling disayangi oleh Jim adalah jam tangan emasnya, manakala Della adalah rambutnya yang cantik dan panjang. Oleh itu, Jim menjual jam tangannya supaya dia dapat membeli sikat rambut untuk Della, sementara Della menjual rambutnya supaya dia dapat membeli rantai untuk jam saku Jim.
Kisah ini sememangnya sudah menjadi cerita yang disukai ramai, kerana ia mengingatkan kita bahawa pengorbanan adalah intipati cinta sejati, dan ukuran paling benar untuk kasih. Idea sebegini amat sesuai untuk Krismas, kerana pengorbanan adalah perkara terpenting dalam cerita kelahiran Kristus. Yesus Kristus dilahirkan untuk mati, dan Dia dilahirkan untuk mati bagi kita. Itulah sebabnya malaikat memberitahu Yusuf, “Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:21).
Malah, lama sebelum kelahiran Kristus, ia sudah ditentukan bahawa Dia akan datang untuk menyelamatkan kita daripada kejatuhan kita dalam dosa—yang bermaksud kita tidak akan dapat menghargai kelahiran-Nya sekiranya kita tidak memandang kepada salib-Nya. Maksud Krismas adalah sepenuhnya tentang kasih Kristus, yang dapat dilihat dengan paling jelas pada pengorbanan-Nya untuk kita.