Orang yang tidak berumah di Vancouver, British Columbia, mempunyai cara baru untuk mendapatkan tempat tinggal pada waktu malam. Sebuah organisasi kebajikan, RainCity Housing, telah mencipta bangku khas yang dapat bertukar menjadi tempat perlindungan sementara. Belakang bangku tersebut ditarik ke atas untuk menjadi atap bagi melindungi orang daripada angin dan hujan. Pada waktu malam, tempat tidur ini senang dijumpai kerana ia mempunyai ciri perkataan bercahaya dalam kegelapan yang bertulis: INI ADALAH BILIK TIDUR.
Keperluan untuk tempat perlindungan mempunyai bentuk fizikal, tetapi juga wujud secara rohani. Tuhan adalah perlindungan untuk jiwa kita yang susah hati. Raja Daud menulis, “Dari negeri yang jauh aku berseru kepada-Mu, kerana aku putus asa. Bawalah aku ke tempat perlindungan yang selamat” (Mazmur 61:3). Apabila kita tertekan secara emosi, kita lebih senang dipengaruhi oleh taktik Musuh—ketakutan, rasa bersalah, dan nafsu berahi adalah kegemarannya. Kita memerlukan sumber kestabilan dan keselamatan.
Jika kita berlindung di bawah naungan Tuhan, kita dapat mengalahkan Musuh apabila dia cuba mempengaruhi hati dan fikiran kita “kerana Engkaulah pelindungku, pertahanan yang kuat terhadap musuhku. Izinkanlah aku tinggal di khemah-Mu sepanjang hidupku; supaya aku selamat di bawah naungan sayap-Mu” (ayat 4-5).
Apabila kita berasa susah hati, ketenangan dan perlindungan adalah milik kita melalui Anak Tuhan, Yesus Kristus. “Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!” (Yohanes 16:33).