Bilik itu dihiasi dengan pelbagai warna menarik apabila wanita-wanita cantik yang memakai sari berkerumun di situ sambil bersolek pada masa terakhir sebelum bermulanya acara pengutipan dana. Berasal dari India, wanita-wanita ini sekarang tinggal di Amerika Syarikat. Walaupun demikian, mereka masih mengambil berat tentang negara asal mereka. Setelah mendengar tentang masalah kewangan di sebuah sekolah Kristian untuk anak-anak autistik di India, mereka bukan sahaja mendengar tentang keperluan itu, tetapi juga mengambil berat lalu bertindak dengan melakukan sesuatu.
Nehemia tidak membiarkan keadaan selesa dalam hidupnya, sebagai seorang pembawa cawan dan pendengar kepada orang paling berkuasa pada zaman itu, membuat dia melupakan rakyat senegaranya. Dia bercakap dengan orang yang baru balik dari Yerusalem untuk mengetahui keadaan kota itu serta rakyatnya (Nehemia 1:2). Dia mendapat tahu bahawa “orang bekas buangan … kini hidup sengsara dan dihina … Lagipun tembok Yerusalem masih reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya belum diperbaiki sejak dibakar pada masa lampau” (ayat 3).
Hati Nehemia hancur. Dia meratap, berpuasa dan berdoa, kemudian meminta Tuhan untuk melakukan sesuatu tentang keadaan teruk itu (ayat 4). Tuhan membolehkan Nehemia pulang ke Yerusalem agar dia dapat memimpin kerja-kerja pembinaan semula kota (2:1-8).
Nehemia melaksanakan perkara-perkara besar bagi umatnya kerana dia meminta hal-hal besar daripada Tuhan yang perkasa, dan telah banyak berharap kepada-Nya. Semoga Tuhan membuka mata kita kepada keperluan orang di sekeliling kita, dan semoga Dia menolong kita untuk bersungguh-sungguh serta kreatif dalam menjadi penyelesai masalah yang dapat memberkati orang lain.