Semasa berdiri di tepi katil kawan saya di wad kecemasan hospital, saya tersentuh dengan rintihan kesakitan pesakit lain di situ. Sementara saya berdoa untuk kawan saya dan pesakit lain, saya sedar semula betapa cepatnya hidup kita berlalu di bumi ini. Kemudian saya teringat akan satu lagu rakyat Amerika yang dinyanyikan oleh Jim Reeves yang berkisah tentang dunia ini sebenarnya bukan rumah kita—kita hanya “berjalan lewat” dunia ini.
Dunia kita penuh dengan penat lelah, kesakitan, kelaparan, hutang, kemiskinan, penyakit dan kematian. Oleh sebab kita harus menempuhi dunia seperti ini, jemputan Yesus adalah tepat pada waktu-Nya dan sangat dialu-alukan: “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu” (Matius 11:28). Kita memerlukan kelegaan ini.
Kebanyakan acara pengebumian yang pernah saya hadiri selalunya memetik ayat Alkitab yang mengatakan visi Yohanes mengenai langit dan bumi yang baru (Wahyu 21:1-5), dan ayat-ayat itu sememangnya sesuai untuk acara sebegini.
Namun saya percaya bahawa ayat-ayat ini lebih sesuai ditujukan kepada mereka yang masih hidup berbanding mereka yang sudah meninggal dunia. Masa untuk menerima jemputan Yesus dan datang kepada-Nya, serta mencari rehat adalah pada masa kita masih hidup. Barulah kita akan menerima janji yang dinyatakan dalam kitab Wahyu. Tuhan akan tinggal bersama-sama manusia (ayat 3). Dia akan menyapu air mata kita (ayat 4). Tiada lagi “kematian … demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan” (ayat 4)
Terimalah jemputan Yesus dan mendapat rehat bersama-sama Dia!