Dalam buku Alan Tennant, On the Wing (Di Atas Sayap), dia menceritakan tentang usahanya untuk mengesan penghijrahan burung helang berbaka falko belalang. Burung helang ini terkenal dengan kecantikan, kepantasan dan kekuatan, malah burung yang menakjubkan ini pernah menjadi rakan memburu kegemaran bagi raja-raja dan orang kenamaan. Sedihnya, akibat penggunaan racun DDT yang berleluasa pada tahun 1950-an, kitaran pembiakan burung helang ini terganggu dan disenaraikan sebagai spesis terancam.

Oleh sebab minat dalam proses pemulihan spesis ini, Tennant memasangkan pemancar pada beberapa burung helang terpilih untuk mengesan corak penghijrahan mereka. Namun semasa dia dan juruterbangnya menerbangkan kapal terbang jet Cessna untuk mengikuti burung-burung tersebut, mereka sering kali kehilangan isyarat pemancar itu. Walaupun mereka memakai teknologi canggih, mereka tidak selalunya dapat mengesan burung yang mereka ingin tolong.

Alangkah indahnya apabila kita mengetahui bahawa Tuhan yang mengasihi kita tidak pernah gagal untuk mengesan kita. Yesus sendiri pernah berkata bahawa burung pipit pun dijaga oleh Tuhan kerana “tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu … Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” (Matius 10:29-31).

Apabila kita menghadapi situasi yang sukar, ketakutan mungkin akan menyebabkan kita berfikir sama ada Tuhan sedar tentang situasi kita. Ajaran Yesus meyakinkan kita bahawa Tuhan sangat mengasihi kita dan sentiasa mengawal segala-galanya. Pengesanan-Nya terhadap hidup kita tidak pernah gagal.