Kesukaran yang berlaku berulang-ulang dalam kehidupan sering menyebabkan kita memfokuskan apa yang kita perlukan pada masa itu, sehingga kita melupakan apa yang kita sudah miliki. Saya diingatkan akan hal itu apabila koir gereja kami menyanyikan lagu yang indah berdasarkan Mazmur 103. “Pujilah TUHAN, hai jiwaku, dan janganlah lupa akan kebaikan-Nya” (ayat 2). Tuhan adalah pengampun, penyembuh, penebus, pembekal, pembaharu dan pemuas hidup kita (ayat 4-5). Bagaimana mungkin kita boleh melupakannya? Namun kita sering melupakannya apabila peristiwa-peristiwa kehidupan seharian mengalihkan perhatian kita kepada keperluan hidup, kegagalan yang berulang-ulang, dan hal keadaan yang seolah-olah di luar kawalan kita.

Penulis mazmur ini menggesa kita untuk ingat bahawa, “TUHAN pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih … Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita, Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita. Tetapi setinggi langit dari bumi, setinggi itu juga kasih-Nya kepada orang yang menghormati-Nya” (ayat 8,10-11).

Dalam perjalanan iman kita, kita datang kepada Yesus Kristus kerana menjadi rendah hati oleh ketidaklayakan kita. Kita berasa tidak layak ketika menerima rahmat-Nya, malah berasa kagum akan kelimpahan kasih-Nya. Segala ini mengingatkan kita tentang segala kebaikan-Nya.

“Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah nama-Nya yang suci, hai segenap batinku” (ayat 1).