Antara banyak surat yang saya terima selepas Krismas, saya mendapati suatu harta yang bernilai—satu kad Krismas buatan tangan dengan menggunakan kertas tebal kitar semula. Dengan diberus cat air yang sederhana, satu gambaran bukit-bukit pada musim sejuk dihidupkan dengan tumbuh-tumbuhan malar hijau. Dengan bingkai yang dihiasi dengan bunga holly dan buah beri merah, kad itu mempunyai satu mesej tulisan tangan di bawah bahagian tengah yang berbunyi:

Salam sejahtera bagi anda!

Artis itu seorang banduan dan kawan saya. Sementara saya tertarik dengan kerja tangannya, saya menyedari bahawa sudah 2 tahun saya tidak menulis kepadanya!

Pada masa dahulu, seorang banduan lain telah diabaikan sementara dia menunggu di dalam penjara. “Hanya Lukas bersama-sama aku di sini,” tulisnya rasul Paulus kepada Timotius (2 Timotius 4:11). “Tidak seorang pun mendampingi aku … semuanya meninggalkan aku” (ayat 16). Namun Paulus mendapat galakan walaupun di penjara, dan dia menulis, “Tuhan menyertai aku. Dia memberi aku kekuatan” (ayat 17). Tetapi Paulus pasti merasakan sakit kesunyian kerana dia ditinggalkan.

Di belakang kad Krismas yang indah itu, kawan saya menulis, “Semoga kedamaian, kegembiraan, harapan dan kasih yang dibawa oleh kelahiran Yesus memberkati anda dan menjadi milik anda.” Dia menandatanganinya, “Saudaramu dalam Kristus.” Saya melekatkan kad itu pada dinding sebagai peringatan untuk mendoakan dia. Kemudian saya pun menulis kepadanya.

Pada tahun yang akan datang, marilah kita mendekati saudara dan saudari kita yang hidup kesunyian.