Selepas ibu mentua saya meninggal dunia, isteri saya dan saya pergi ke pangsapurinya. Lalu kami menemui suatu tempat sorokan duit-duit syiling Kepala Orang Asli Amerika Syarikat di dalam laci almari. Dia bukan seorang pengumpul duit syiling. Oleh sebab dia hidup dalam era ketika duit-duit ini dalam edaran, maka dia telah mengumpul beberapa keping.
Sejumlah duit syiling ini berada dalam keadaan yang sangat baik; manakala yang lain tidak kerana duit-duit syiling itu kelihatan begitu haus dan kusam sehingga anda tidak dapat melihat teranya. Semua syiling ini mempunyai cap “Satu Sen” di belakangnya. Walaupun hari ini satu sen mempunyai nilai yang kecil dan ramai orang menganggapnya tidak bernilai, duit syiling satu sen itu dapat membeli akhbar pada masa itu. Malah para pengumpul masih menemui nilai yang berguna dalamnya, walaupun duit syilling itu sudah agak kemik-kemik dan dirosakkan.
Mungkin anda berasa seperti duit syiling itu: tercemar, rosak, usang, atau tidak digunakan lagi. Walaupun begitu, Tuhan mendapati nilai dalam anda. Pencipta alam semesta ini mahukan anda—bukan kerana minda anda, tubuh anda, pakaian anda, pencapaian anda, akal anda, atau keperibadian anda, melainkan anda adalah anda! Dia akan menempuh berapa pun jarak dan membayar apa pun harga untuk memiliki anda (1 Korintus 6:20).
Sebenarnya, Dia telah melakukannya. Dia telah turun ke dunia dari syurga dan membeli anda dengan darah-Nya sendiri (Roma 5:6, 8-9). Itulah kesungguhan-Nya untuk memiliki anda. Anda berharga di mata-Nya, dan Dia mengasihi anda.