Artis berbangsa Itali, Lorenzo Ghiberti (1378-1455) menghabiskan bertahun-tahun dengan penuh kemahiran untuk mengukir imej kehidupan Yesus pada pintu gangsa Florence Baptistery di Itali. Corak-corak yang timbul pada pintu gangsa itu begitu menyentuh hati sehingga Michelangelo (seorang pengarca Itali) memanggilnya Pintu-Pintu Syurga.

Sebagai khazanah seni, pintu-pintu itu menyambut pengunjung dengan gema cerita Injil. Yesus yang berkata, “Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan” (Yohanes 10:9). Pada malam sebelum penyaliban-Nya, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku” (14:6). Dalam masa beberapa jam Yesus berkata kepada salah seorang penjahat yang disalibkan di sebelah-Nya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus” (Lukas 23:43).

Beberapa minggu kemudian, Rasul Petrus mengisytiharkan dengan berani kepada mereka yang pernah menyeru untuk membunuh Yesus bahawa “hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita” (Kisah Rasul-Rasul 4:12). Beberapa tahun kemudian, rasul Paulus menulis bahawa hanya ada satu pengantara antara Tuhan dan manusia—orang itu Kristus Yesus (1 Timotius 2:5).

Pintu-pintu syurga dapat ditemui dalam Penyelamat yang menawarkan hidup yang kekal kepada semua orang yang beriman dan datang kepada-Nya. Masuklah dan bersukacitalah dalam penyelamatan-Nya.