Taman botani bertaraf dunia di seberang jalan dari gereja kami adalah tempat yang terbaik bagi gereja untuk mengadakan pertemuan komuniti. Ketika saya berjalan-jalan di taman itu, menyapa orang yang saya telah kenali selama bertahun-tahun, berbual-bual dengan mereka yang saya tidak berjumpa baru-baru ini, dan menikmati keindahan di persekitaran yang dijaga oleh orang yang memahami dan mencintai tumbuh-tumbuhan, saya menyedari bahawa petang itu kaya dengan simbol-simbol tentang gereja yang sepatutnya berfungsi—menunjukkan bayangan syurga di bumi.
Sebuah taman adalah tempat yang setiap pokok ditanam di persekitaran yang akan menyebabkannya bertumbuh subur. Pekebun menyediakan tanah, melindungi tumbuh-tumbuhan daripada perosak, dan memastikan setiap pokok menerima makanan, air dan cahaya matahari yang diperlukan. Hasilnya, wujudlah suatu tempat yang indah, berwarna-warni dan harum baunya untuk dinikmati orang.
Seperti sebuah taman, gereja berfungsi sebagai satu tempat yang semua orang bekerja bersama-sama untuk kemuliaan Tuhan dan kebaikan semua; tempat yang semua orang bertumbuh kerana kita hidup dalam persekitaran yang selamat; tempat yang orang dijaga mengikut keperluan mereka; tempat yang setiap kita melakukan kerja yang kita suka—kerja yang memberi manfaat kepada orang lain (1 Korintus 14:26).
Seperti tumbuhan yang dijaga dengan baik, orang yang bertumbuh dalam persekitaran yang sihat mempunyai suatu aroma manis yang menarik orang kepada Tuhan dengan memaparkan keindahan kasih-Nya. Gereja adalah tidak sempurna, tetapi ia menunjukkan bayangan syurga di bumi.