Axolotl (disebut sebagai ET so LAH tol) adalah misteri dari segi biologi. Daripada bertumbuh menjadi matang ke dalam bentuk dewasa, salamander (binatang yang seakan-akan cicak) yang terancam di Mexico ini mengekalkan ciri-ciri seperti berudu sepanjang hayatnya. Penulis dan ahli falsafah telah menggunakan axolotl sebagai suatu simbol untuk merujuk kepada seseorang yang takut akan pertumbuhan.

Dalam Ibrani 5 kita belajar tentang Kristian yang mengelakkan pertumbuhan sihat, yang tetap berpuas hati dengan “susu” rohani yang dimaksudkan untuk orang yang baru percaya. Mungkin kerana mereka takut akan dianiayai, maka mereka tidak bertumbuh dalam kesetiaan kepada Kristus yang akan membolehkan mereka menjadi cukup kuat untuk menderita dengan Dia demi orang lain (ayat 7-10). Akibatnya, orang percaya yang sebelum ini menunjukkan sikap seperti Kristus kini berada dalam bahaya kemerosotan rohani (6:9-11). Mereka belum bersedia untuk makanan keras secara rohani, iaitu pengorbanan diri (5:14). Maka penulis menulis, “Masih banyak lagi yang perlu kami katakan tentang hal ini, tetapi susah kami hendak menerangkannya kerana kamu lambat sekali mengerti” (ayat 11).

Pertumbuhan axolotls mengikuti corak semula jadi yang ditetapkan oleh Pencipta. Tetapi pengikut-pengikut Kristus direka untuk bertumbuh menjadi matang secara rohani. Sekiranya kita bertumbuh dalam Kristus, kita akan menyedari bahawa pertumbuhan ini akan melebihi kedamaian dan kegembiraan dalaman kita sendiri. Pertumbuhan yang semakin menyerupai sifat Tuhan akan memuliakan-Nya apabila kita menggalakkan orang lain tanpa mementingkan diri.