Ketika Dr. Martin Luther King Jr. berkhutbah pada pagi Ahad tahun 1957, dia berjuang melawan godaan untuk membalas dendam terhadap masyarakat yang penuh dengan rasisme.
“Bagaimanakah anda mengasihi musuh anda?” Dia bertanya jemaah di gereja Baptist Dexter Avenue di Montgomery, Alabama. “Mulakan dengan dirimu sendiri … Apabila peluang muncul untuk anda mengalahkan musuh, itulah masanya anda tidak harus melakukannya.”
Dengan memetik kata-kata daripada Yesus, Dr. King berkata: “Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga” (Matius 5:44-45).
Ketika kita memikirkan mereka yang membahayakan kita, jangan kita lupa bahawa “dahulu kita bermusuhan dengan Allah” (lihat Roma 5:10). Namun Paulus menulis, “melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya” (2 Korintus 5:18). Sekarang kita mempunyai tanggungjawab yang kudus. “Dia sudah menugaskan kami untuk memberitakan hal itu” (ayat 19). Kita harus menyampaikan berita ini kepada dunia.
Ketegangan kaum dan politik bukan perkara baru. Tetapi tanggungjawab gereja tidak pernah menimbulkan perpecahan. Kita tidak sepatutnya menyerang mereka yang tidak suka akan kita, atau orang yang mempunyai pandangan yang berbeza, bahkan mereka yang berharap untuk memusnahkan kita. Pelayanan kita merupakan “pelayanan pendamaian” yang mencontohi Yesus—berjiwa hamba dan tidak mementingkan diri sendiri.
Martin Luther King Jr.