Sherpa Nawang Gombu yang berasal dari Tibet dan Jim Whittaker dari Amerika Syarikat mencapai puncak Gunung Everest pada 1 Mei 1963. Ketika mereka menghampiri puncak, kedua-dua mereka masing-masing berfikir tentang penghormatan untuk menjadi orang yang pertama melangkah ke puncak. Whittaker memberi isyarat kepada Gombu untuk bergerak ke hadapan, tetapi Gombu enggan dan berkata sambil tersenyum: “Anda dahulu, Abang Jim!” Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk melangkah ke puncak pada masa yang sama.
Paulus menggalakkan orang yang beriman di Filipi untuk menunjukkan kerendahan hati seperti ini. Dia berkata, “Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri” (Filipi 2:4). Hal mementingkan diri dan keunggulan boleh memisahkan orang, tetapi kerendahan hati menyatukan kita, kerana ia adalah kualiti “saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama”(ayat 2) .
Apabila pertengkaran dan perselisihan berlaku, kita sering boleh menyelesaikannya melalui menyerahkan hak kita untuk membuktikan kita adalah betul. Kerendahan hati memanggil kita menunjukkan anugerah dan kelembutan, apabila kita lebih suka menegaskan untuk mengikut cara kita sendiri. “Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri” (ayat 3).
Pengamalan kerendahan hati membantu kita lebih menyerupai Yesus, kerana demi kita, “Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib” (ayat 7-8). Untuk mengikut jejak langkah Yesus, ini bererti kita patut membelakangkan apa yang terbaik untuk kita dan melakukan apa yang terbaik untuk orang lain.