Kebaktian gereja masih sedang berlangsung, dan kami mempunyai beberapa pengunjung pada pagi itu. Pengkhutbah hanya separuh jalan dalam khutbahnya apabila saya melihat salah seorang pelawat kami mula meninggalkan gereja. Kerana saya ingin tahu dan mengambil berat tentang orang itu, maka saya keluar untuk bercakap dengan dia.

“Begitu cepatnya anda balik,” saya berkata sambil mendekatinya. “Adakah apa-apa yang saya boleh bantu?” Dengan jujur dan terus terang dia berkata, “Ya, masalah saya adalah khutbah itu! Saya tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh pengkhutbah itu.” Dia telah berkhutbah bahawa apa pun yang kita capai dalam hidup, penghargaan dan pujian adalah diberikan kepada Tuhan. “Sekurang-kurangnya,” wanita itu mengeluh, “Saya layak menerima sedikit penghargaan atas pencapaian saya!”

Saya menjelaskan kepadanya apa yang dimaksudkan oleh pastor itu. Orang ramai berhak mendapat pengiktirafan dan penghargaan terhadap perkara yang dilakukan mereka. Namun begitu, kurnia dan bakat kita berasal daripada Tuhan, maka Dia yang mendapat kemuliaan itu. Mahupun Yesus, Anak Tuhan, berkata, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya” (Yohanes 5:19). Dia memberitahu para pengikut-Nya, “Tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (15:5).

Kita mengaku dan memuliakan Tuhan yang membantu kita mencapai segala-galanya.