Apabila penyanyi solo itu mula menyanyi semasa kebaktian Ahad, jemaah memberinya sepenuh perhatian. Dengan suara bariton yang lunak, penyanyi itu menyampaikan lagu lama gubahan Gordon Jensen dengan perkataan yang menyentuh jiwa. Tajuk lagu itu menampilkan satu kebenaran yang kita lebih dapat menghayati secara mendalam apabila kita melanjut usia: “Dia Ada Di Sini, Semasa Kita Menyebut Nama-Nya.”
Kita semua pernah mengalami masa-masa perpisahan daripada orang yang kita sayangi. Seorang anak yang berkahwin dan berpindah jauh. Ibu bapa dipisahkan daripada kita kerana kerjaya atau kesihatan. Seorang anak melanjutkan pelajaran di negeri atau di negara lain. Betul, kita boleh menghantar mesej dan Skype. Tetapi kita berada di sini dan mereka berada di sana. Kemudian pula terdapat pemisahan disebabkan oleh kematian.
Tetapi sebagai orang yang percaya kepada Kristus, kita mempunyai janji-Nya bahawa kita tidak pernah sendirian. Walaupun kita mungkin merasa sendirian, Dia tidak pergi ke mana-mana. Dia ada di sini, sekarang, selalu dan selama-lamanya. Apabila Dia meninggalkan dunia ini, Dia berkata kepada pengikut-Nya, “Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (Matius 28:20). Dia juga berjanji kepada kita, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu” (Ibrani 13:5).
Permohonan dalam diam, bisikan nama-Nya, bahkan dengan memikirkan Dia sahaja pun dapat membawa ketenangan dan keyakinan kepada kita. “Dia Ada Di Sini, Semasa Kita Menyebut Nama-Nya.”
Aku memerlukan Engkau.