Dalam masyarakat tradisional Afrika, pewarisan kepimpinan merupakan keputusan yang penting. Selepas kemangkatan seorang raja, pemilihan pemerintah yang baru harus dilakukan dengan sangat berhati-hati. Selain dilahirkan dalam keluarga diraja, pewaris itu mesti kuat, berani dan bijak. Calon-calon akan disoal untuk menilai sama ada mereka akan melayani rakyat atau memerintah rakyat dengan kejam. Pewaris raja seharusnya seorang yang dapat memimpin tetapi juga melayani orang.
Walaupun Salomo sendiri membuat keputusan-keputusan buruk, dia risau tentang pewarisnya. “Siapa tahu? Mungkin dia bijak, mungkin dia bodoh! Namun dia akan mewarisi semua yang telah kuusahakan; segala yang telah kuperoleh di dunia dengan hikmatku. Semua itu sia-sia” (Pengkhutbah 2:19). Anak lelakinya, Rehabeam ialah pewaris itu. Dia tidak menunjukkan kebijaksanaan dan akhirnya dia menjadi orang yang menggelisahkan bapanya.
Apabila rakyat meminta situasi kerja yang lebih berperikemanusiaan, itulah peluang bagi Raja Rehabeam untuk menunjukkan kepemimpinan yang bersifat melayani. “Jika tuanku hendak berbakti kepada rakyat … ,” para orang tua menasihati, “maka mereka pun akan berbakti dengan setia kepada tuanku” (1 Raja-Raja 12:7). Namun, dia tidak mempedulikan nasihat mereka. Rehabeam gagal untuk mencari kehendak Tuhan. Jawapan yang keras itu membahagikan kerajaan dan mempercepat kemerosotan kehidupan rohani umat Tuhan (12:14-19).
Dalam keluarga, di tempat kerja, di gereja, atau dalam kawasan kejiranan—kita memerlukan hikmat-Nya supaya kita merendahkan hati untuk melayani, dan bukan dilayani.