Dalam majlis jamuan perkahwinan anak lelaki Bob, dia memberikan nasihat dan dorongan kepada pasangan pengantin itu. Dalam ucapannya, dia mengisahkan seorang jurulatih bola sepak di bandar berdekatan. Setiap kali pasukannya kalah, jurulatih itu tidak memadamkan markah kekalahan yang tertulis di papan mata sepanjang minggu untuk mengingatkan pasukan itu akan kekalahan mereka. Bob menasihati mereka dengan penuh hikmat bahawa meskipun strategi tersebut baik untuk pasukan bola sepak, tetapi strategi yang sama tidak baik untuk perkahwinan. Apabila teman hidup anda menyinggung hati atau mengecewakan anda, jangan selalu berfokus pada kegagalan tersebut. Buanglah papan mata itu.
Wah, nasihat yang bijak! Firman Tuhan penuh dengan perintah supaya kita mengasihi satu sama lain dan memaafkan kesalahan. Kita diingatkan bahawa sesiapa yang mengasihi orang lain “tidak mendendam” (1 Korintus 13:5) dan kita seharusnya bersiap sedia untuk saling mengampuni “sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus” (Efesus 4:32).
Saya amat bersyukur kepada Tuhan yang membuang papan mata itu apabila saya gagal. Dia tidak hanya mengampuni kita apabila kita bertaubat; Dia juga membuang dosa kita sejauh timur dari barat (Mazmur 103:12). Bagi Tuhan, pengampunan bermaksud dosa kita tidak lagi dilihat-Nya dan tidak diingati-Nya. Semoga Tuhan memberikan rahmat kepada kita supaya kita dapat mengampuni orang di sekeliling kita.
jangan mendendam.