Wilson Bentley yang berumur 15 tahun terpesona oleh kecantikan emping salji yang berjalin-jalin dan kompleks. Dengan begitu kagum, dia melihat emping salji itu dengan menggunakan mikroskop lama yang diberikan oleh emaknya. Lalu dia melakarkan corak emping salji yang luar biasa itu, tetapi emping salji mencair dengan terlalu cepat sehingga tidak cukup masa untuk menangkap ciri-cirinya. Selepas beberapa tahun, pada tahun 1885, dia mempunyai satu idea. Dia memasangkan kamera bellows (saluran kedap cahaya dengan tepi yang berlipat-lipat seperti akordian) pada mikroskop itu dan, selepas banyak percubaan dan kesilapan, dia berjaya mengambil gambar emping salji yang pertama. Sepanjang kehidupan Bentley, dia mengambil 5,000 keping gambar emping salji dan setiap satu mempunyai corak yang unik. Bentley menggambarkan emping salji itu sebagai “mukjizat kecil dalam kecantikan” dan “bunga-bunga ais.”
Tiada dua emping salji yang serupa, tetapi semua berasal daripada sumber yang sama. Hal ini adalah sama dengan pengikut-pengikut Kristus. Kita semua berasal daripada Pencipta dan Penebus yang sama, tetapi kita semua berlainan. Dalam rancangan mulia Tuhan, Dia telah memilih untuk mengumpulkan individu yang berlainan supaya dipersatukan, dan Dia memberikan pelbagai kurnia kepada kita. Untuk menerangkan perbezaan kurnia kepada orang percaya, Paulus menulis: “Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing” (1 Korintus 12:4-6).
Bersyukurlah kepada Tuhan kerana sumbangan unik yang anda boleh berikan apabila anda membantu dan melayani orang lain.
Bantulah aku menggunakan kurniaku dengan setia untuk melayani Engkau dan orang lain.
rekaan Tuhan yang penuh kasih.