Thwip, thwap. Thwip, thwap.

Pengelap cermin depan kereta yang bergerak ulang-alik untuk mengelap hujan lebat hanya menambahkan kejengkelan saya apabila saya menyesuaikan diri memandu kereta lama yang saya baru beli—sebuah kereta Station Wagon yang lama dengan 128,000+ km dan tanpa beg udara sisi yang dapat melindungi anak-anak saya.

Untuk membeli kereta Station Wagon ini, dan wang tunai yang sangat diperlukan untuk membeli barang-barang runcit, saya telah menjual “harta” terakhir yang kami miliki: sebuah kereta Station Wagon Volvo 1992 yang dilengkapi beg udara sisi untuk melindungi anak-anak saya. Pada masa itu, segala sesuatu yang lain sudah tiada. Rumah kami dan wang simpanan kami tidak ada lagi kerana kami harus membayar biaya perubatan penyakit yang mengancam nyawa, yang tiada jaminan insuran.

“Baiklah, Tuhan,” saya katakan dengan nyaring, “jika sekarang ada pelanggaran ke arah tepi kereta saya, saya tidak dapat pun melindungi anak-anak saya. Sekiranya terdapat apa-apa yang berlaku ke atas mereka, biarlah saya beritahu Engkau perkara yang akan saya lakukan … ”

Thwip, thwap. Thwip, thwap. (Menelan air liur dengan terketar-ketar.)

Dengan serta-merta saya berasa malu terhadap diri sendiri. Baru 2 tahun yang lalu, Tuhan telah melindungi isteri dan anak lelaki saya yang nyaris kehilangan nyawa, tetapi sekarang saya pula sedang merungut tentang “benda” yang saya kehilangan. Saya menyedari bahawa saya begitu cepat menjadi orang yang tidak bersyukur kepada Tuhan. Bapa yang penuh kasih, yang tidak menyelamatkan Anak-Nya sendiri supaya saya boleh diselamatkan telah menyelamatkan anak saya secara ajaib.

“Ampunilah aku, ya Bapa,” saya berdoa. Aku sudah mengampunimu, anak-Ku.