Pada waktu seorang kawan baik saya kehilangan suaminya akibat serangan penyakit jantung secara tiba-tiba, kami berdukacita bersama dengannya. Sebagai seorang kaunselor, dia telah menghiburkan hati ramai orang. Namun sekarang, selepas berkahwin selama 40 tahun, dia menghadapi masa depan yang tidak disenangi, iaitu pulang ke rumah yang kosong pada setiap hari.
Di tengah-tengah kepiluannya, kawan kami ini bersandar kepada Tuhan yang “dekat kepada orang yang tawar hati.” Semasa Tuhan menyertainya pada masa kesedihan ini, dia memberitahu kami bahawa dia memilih untuk “memakai label balu dengan bangga,” kerana dia berpendapat bahawa label ini diberikan oleh Tuhan kepadanya.
Rasa pilu adalah peribadi, dan mungkin terdapat individu lain yang mengalami kepiluan yang berbeza daripadanya. Walaupun dia sudah menerima hakikat bahawa suaminya telah meninggal dunia, ini tidak mengurangkan kepiluannya atau memenuhi kekosongan rumahnya. Namun ia mengingatkan kita bahawa di tengah-tengah kesedihan kita yang paling berat, Tuhan kita yang Maha Pengasih dan yang mengawal segala-galanya boleh dipercayai.
Bapa syurgawi kita mengalami perpisahan yang menyakitkan dengan anak-Nya sendiri. Apabila Yesus terpaku pada kayu salib, Dia berseru dengan suara lantang, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Walau bagaimanapun, Yesus menanggung kesakitan dan perpisahan dengan tabah akibat dosa kita kerana Dia mengasihi kita!
Dia memahami hal itu! Oleh sebab “TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati” (Mazmur 34:19), kita memperoleh penghiburan yang kita perlukan. Dia dekat dengan kita.
Tahukah anda seseorang yang sedih hati? Kongsikanlah artikel renungan ini dari halaman facebook kami: http://goo.gl/FFCb71