Pada masa saya membersihkan rumah untuk sesuatu aktiviti istimewa, saya berasa tawar hati kerana saya berfikir tetamu tidak akan melihat ruang yang saya bersihkan, melainkan ruang yang saya tidak bersihkan. Hal ini menuju kepada soalan yang lebih bersifat falsafah dan rohani: Kenapa manusia lebih cepat melihat perkara salah daripada perkara betul? Kita lebih cenderung mengingat kekasaran daripada kebaikan. Kes-kes jenayah lebih dapat menarik perhatian daripada perbuatan baik. Bencana juga lebih cepat menarik perhatian kita daripada keindahan di sekeliling kita.
Kemudian saya menyedari bahawa saya juga bersifat sedemikian terhadap Tuhan. Saya lebih cenderung berfokus pada perkara yang belum dilakukan-Nya daripada perkara yang telah dilakukan-Nya, berfokus pada benda yang saya tidak memiliki daripada benda yang saya miliki, dan berfokus pada keadaan yang belum diubah-Nya daripada banyak keadaan yang telah diubah-Nya.
Ketika saya membaca kitab Ayub, saya diingatkan bahawa Tuhan pun tidak suka dengan perkara yang menimpa Ayub, dan saya memang tidak suka akan hal itu. Selepas menikmati kemakmuran selama bertahun-tahun, Ayub mengalami tragedi yang berturutan. Tiba-tiba, kesemua tragedi ini menjadi fokus dalam kehidupan dan perbualannya. Akhirnya, Tuhan campur tangan dan bertanya kepada Ayub beberapa soalan yang susah, sambil mengingatkannya tentang kedaulatan Tuhan dan segala perkara yang tidak diketahui dan belum dilihat oleh Ayub (Ayub 38–40).
Apabila saya mula memfokuskan perkara yang negatif, saya berharap agar saya boleh berhenti sejenak, lalu memikirkan kehidupan Ayub, dan memberi perhatian kepada segala perkara ajaib yang telah dilakukan dan sedang dilakukan oleh Tuhan.
berterima kasihlah kepada Tuhan.