Pada suatu hari, saya menerima sejambak bunga tulip merah jambu. Kelopak bunga ini tumbuh pada tangkai yang tebal apabila saya memasukkan bunga ke dalam sebuah pasu hiasan yang kemudian diletakkan pada tengah meja dapur kami. Pada keesokan hari, saya mendapati bahawa bunga itu menghadap ke arah yang berlainan. Bunga yang menghadap ke atas sebelumnya ini kini menghadap ke tepi, berbunga dan menuju kepada cahaya matahari yang memancar menerusi tingkap yang berdekatan.

Sehubungan dengan itu, kita semua diciptakan seperti bunga-bunga itu. Tuhan telah memanggil kita supaya menuju kepada cahaya kasih-Nya. Petrus menulis keajaiban yang dialami apabila kita dipanggil “keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya [Tuhan]” (1 Petrus 2:9). Sebelum kita mengenali Tuhan, kita hidup dalam bayangan dosa dan kematian yang memisahkan kita daripada-Nya (Efesus 2:1-7). Bagaimanapun, oleh sebab rahmat dan kasih Tuhan, Dia menyediakan satu jalan keluar untuk menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan melalui kematian dan kebangkitan Anak-Nya (Kolose 1:13-14).

Yesus merupakan Cahaya untuk dunia ini, dan sesiapa yang percaya kepada pengampunan-Nya bagi dosa kita akan menerima hidup yang kekal. Apabila kita kembali kepada-Nya, barulah kita akan semakin memantulkan kebaikan dan kebenaran-Nya (Efesus 5:8-9).

Janganlah sekali kita lupa untuk menuju kepada Cahaya.