Sewaktu kecil, bapa saya akan “menakutkan” kami dengan bersembunyi di semak-samun dan mengaum seperti singa. Walaupun kami tinggal di luar bandar Ghana, Afrika pada tahun 1960-an, hampir mustahil jika terdapat seekor singa yang terhendap-hendap berdekatan. Saya dan saudara saya akan ketawa sambil mencari bunyi bising itu, serta berasa sungguh seronok setiap kali kami bermain permainan ini dengan bapa kami.
Pada suatu hari, seorang kawan telah datang melawat kami. Semasa kami sedang bermain, kami terdengar bunyi aum. Kawan kami terjerit-jerit dan berlarian ke sana sini. Namun saya dan saudara lelaki saya mengetahui bunyi itu sebenarnya suara bapa kami—sebarang “bahaya” yang dihadapi hanya berasal daripada seekor singa palsu—tetapi perkara yang lucu telah berlaku. Kami berlari bersama kawan itu. Bapa saya berasa tidak senang hati kerana kawan ini ditakutkan. Saya dan saudara lelaki saya pula belajar supaya tidak dipengaruhi oleh reaksi orang lain yang cemas.
Kaleb dan Yosua merupakan orang yang tidak dipengaruhi oleh perasaan cemas orang lain. Apabila orang Israel bersedia untuk memasuki Tanah yang Dijanjikan, Musa mengutus 12 pengintip untuk menjelajahi tanah itu. Mereka melihat kawasan yang indah, tetapi 10 orang antara mereka memfokuskan halangan sehingga menyebabkan seluruh bangsa menjadi tawar hati (Bilangan 13:27-33). Dalam proses itu, mereka mula berasa cemas (14:1-4). Namun hanya Kaleb dan Yosua yang memerhatikan situasi itu dengan tepat (ayat 6-9). Mereka mengetahui sejarah Bapa Syurgawi mereka dan mempercayai Dia akan memberi mereka kejayaan.
Namun, ada sejumlah “singa” menimbulkan ancaman yang sebenar. Yang lain adalah ancaman palsu. Bagaimanapun, sebagai pengikut Yesus, keyakinan kita adalah pada suara dan pekerjaan Tuhan yang kita ketahui dan percaya.