Kami mempunyai satu bekas makanan untuk burung madu di taman kami, kami gemar melihat burung-burung kecil datang dan minum air manis daripada bekas itu. Akhir-akhir ini, kami pergi melancong untuk masa yang pendek dan terlupa untuk mengisikan air manis itu. Apabila kami balik, bekas itu sudah kering sepenuhnya. Kasihannya! Saya fikir. Oleh sebab sifat pelupa saya, burung-burung itu tidak mendapat sebarang makanan. Kemudian saya diingatkan bahawa saya bukan orang yang memelihara burung-burung ini: melainkan Tuhan.
Kadangkala, kita mungkin berasa bahawa kesemua tuntutan hidup telah menghabiskan tenaga kita dan tiada sesiapa yang dapat mengisinya lagi. Namun, orang lain tidak dapat menyegarkan jiwa kita: melainkan Tuhan.
Dalam Mazmur 36, kita membaca tentang kebaikan Tuhan. Petikan ini menggambarkan mereka yang meletakkan kepercayaan mereka dalam-Nya mendapat kepuasan hati yang melimpah-limpah. Tuhan memberi mereka “minuman dari sungai kebaikan-[Nya]” (ayat 9). Dia merupakan air yang memberikan hidup!
Kita boleh menghadap Tuhan untuk menerima pembekalan-Nya bagi keperluan kita setiap hari. Charles Spurgeon menulis, “Mata air bagi iman dan segala rahmatku; mata air bagi kehidupan dan keseronokanku; mata air bagi aktivitiku dan kesemua perbuatan baik; mata air bagi pengharapanku; dan harapan untuk bertemu semula di syurga, segalanya bergantung pada-Mu, Tuhanku.”
Semoga kita dipenuhi dengan pembekalan-Nya yang melimpah-limpah. Mata air-Nya tidak pernah kering.