Saya menghentikan basikal saya, memastikan lokasi Cambridge dalam peta saya. Saya bukan orang yang pandai mengenal arah dan saya tahu bahawa saya seorang yang mudah tersesat di jalan raya yang berselirat dan penuh dengan bangunan-bangunan bersejarah.

Kehidupan saya sepatutnya menyenangkan kerana saya berkahwin dengan orang British dan berpindah ke United Kingdom. Namun, saya berasa bingung. Apabila saya berdiam diri, saya kelihatan sama dengan orang tempatan, tetapi apabila saya bersuara, dengan segera saya berasa diri saya benar-benar pelancong dari Amerika. Saya belum mengetahui peranan saya, dan dengan segera saya menyedari bahawa ikatan perkahwinan antara dua individu yang degil dan hidup bersatu adalah lebih sukar daripada jangkaan saya.

Saya dapat memahami perasaan Abraham yang meninggalkan segala yang dimilikinya apabila dia mentaati panggilan Tuhan untuk menjalani kehidupannya di negeri baru yang asing (Kejadian 12:1). Dia mengatasi segala cabaran budaya sambil meneguhkan imannya dalam Tuhan. Maka selepas 2,000 tahun, penulis Kitab Ibrani menamakannya seorang wira iman (Ibrani 11:9). Seperti para lelaki dan wanita yang tersenarai dalam bab ini, Abraham hidup dengan percaya kepada Tuhan, menantikan janji-janji Tuhan ditepati, berharap dan menantikan kediamannya di syurga.

Anda mungkin orang yang selalu tinggal di bandar yang sama, tetapi sebagai pengikut-pengikut Kristus, kita hanya orang asing dan pendatang di bumi ini. Kerana beriman, kita mara ke hadapan, yakin bahawa Tuhan akan memimpin dan membimbing kita. Kerana beriman, kita percaya bahawa Dia tidak sesekali akan membiarkan atau meninggalkan kita. Dengan beriman, kita rindu kembali ke syurga.