Daud dan 400 orang askarnya bergerak dengan pantas ke luar bandar untuk mencari Nabal, orang kaya yang menolak untuk menolong mereka secara kasar. Daud mungkin sudah membunuhnya jika dia tidak menemui Abigail, isteri Nabal. Abigail telah membawa makanan yang secukupnya dan berangkat untuk berjumpa dengan tentera Daud, berharap untuk mencegah bencana. Dia mengingatkan Daud dengan hormatnya bahawa rasa bersalah akan menghantuinya jika dia meneruskan rancangan untuk membalas dendam (1 Samuel 25:31). Daud menyedari kata-kata Abigail itu betul dan memuji kebijaksanaannya.
Daud sepatutnya berasa marah—dia telah melindungi gembala-gembala Nabal di padang gurun (ayat 14-17), namun Nabal telah membalas kebaikan Daud dengan kejahatan. Bagaimanapun, kemarahan menyebabkan Daud berdosa. Tindak balas pertama Daud adalah dia ingin membunuh Nabal, walaupun dia tahu bahawa Tuhan tidak bersetuju dengan pembunuhan dan pembalasan dendam (Keluaran 20:13; Imamat 19:18).
Apabila kita berasa tersinggung, adalah baik kita membandingkan tindak balas kita dengan niat Tuhan terhadap kelakuan manusia. Kita mungkin cenderung menyerang balas dengan kata-kata, mengasingkan diri, atau melarikan diri dengan pelbagai cara. Bagaimanapun, memilih respons yang berbelas kasihan akan membantu kita mengelakkan kekesalan, dan yang penting sekali, ini akan membantu kita menyenangkan hati Tuhan. Apabila kita berusaha menghormati Tuhan dalam perhubungan kita, musuh-musuh kita pun boleh dijadikan-Nya kawan kita (lihat Amsal 16:7).