Seorang wartawan mempunyai tabiat yang aneh—dia tidak memakai pen biru. Maka apabila rakan sekerja bertanya kepadanya jika dia ingin membeli sebarang benda, dia meminta rakan itu membelikannya pen. “Tetapi saya tidak mahu pen biru,” katanya. “Saya tidak memakai pen biru. Saya tidak suka biru. Biru adalah warna yang seakan-akan terlalu berat bagi saya. Oleh itu, sila belikan saya 12 batang pen mata bulat—sebarang warna kecuali warna biru!” Pada keesokan hari, rakan sekerja itu memberikannya pen itu—kesemua pen itu adalah pen berdakwat biru. Rakan sekerja itu pun menerangkan, “Kamu asyik menyebut tentang ‘biru, biru.’ Itulah perkataan yang meninggalkan tanggapan yang mendalam!” Pengulangan kata-kata wartawan itu menimbulkan satu kesan, tetapi tidak mendatangkan hasil yang diinginkannya.
Musa, orang yang memaparkan hukum Taurat kepada orang Israel, juga menggunakan cara pengulangan ketika memberikan perintah Tuhan kepada orang Israel. Lebih daripada 30 kali dia menggesa orang Israel terus setia kepada hukum Tuhan mereka. Namun dia mendapat hasil yang amat bertentangan. Dia memberitahu mereka bahawa ketaatan akan membawa mereka ke arah hidup dan kemakmuran, tetapi ketidaktaatan akan membawa kebinasaan (Ulangan 30:15-18).
Apabila kita mengasihi Tuhan, kita ingin mematuhi perintah-Nya bukan kerana kita takut akan akibatnya, melainkan kerana kita berasa sukacita apabila kita menyenangkan hati orang yang kita kasihi. Itulah perkataan yang baik untuk kita ingat.