Saya sepatutnya tahu akibatnya, tetapi saya masih mencuba. Arahan pada label adalah jelas: “Cahaya matahari yang secukupnya diperlukan.” Halaman kami banyak ditutupi. Ia tidak sesuai untuk tanaman yang memerlukan cahaya matahari yang secukupnya. Namun saya gemar tumbuhan itu. Saya suka warna, bentuk-bentuk daun, saiz dan harumannya. Maka saya membeli dan membawanya kembali ke rumah, menanam dan menjaganya dengan baik. Bagaimanapun, tanaman ini tidak begitu gembira di rumah saya. Penjagaan dan perhatian adalah tidak cukup. Ia memerlukan cahaya matahari yang saya tidak dapat bekalkan. Saya fikir saya boleh memberi-kannya penjagaan yang lain untuk mengganti ketidakcukupan cahaya matahari. Namun cara ini tidak berkesan. Tanaman mempunyai keperluan sendiri.
Keadaan ini sama halnya dengan manusia. Walaupun kita boleh terus hidup untuk sementara di bawah keadaan yang kurang memuaskan, kita tidak dapat bertumbuh dengan baik. Selain daripada keperluan fizikal kita yang asas, kita juga memerlukan keperluan rohani yang tidak dapat diganti oleh benda lain.
Firman mengatakan bahawa orang percaya merupakan anak-anak terang. Ini bermaksud kita perlu hidup dalam Cahaya hadirat Tuhan untuk bertumbuh dengan baik (Mazmur 89:16). Jika kita cuba hidup dalam kegelapan, kita akan melakukan “perbuatan tidak berguna” (lihat Efesus 5:3-4,11). Tetapi jika kita hidup dalam cahaya Yesus, Cahaya untuk dunia, kita akan melakukan segala sesuatu yang baik, adil dan tulus.