Saya membesar di Oklahoma, tempat yang biasanya dilanda oleh cuaca yang buruk, sering kali bermula dari awal musim bunga sehingga akhir musim panas. Saya teringat suatu petang ketika langit dipenuhi awan gelap sementara pemberita ramalan cuaca memberi amaran tentang puting beliung yang bakal melanda, tiba-tiba bekalan elektrik di rumah kami terputus. Dengan segera, saya, ibu bapa dan saudara perempuan saya menuruni tangga kayu untuk menuju ke bilik bawah tanah di belakang rumah kami, dan di situlah menjadi tempat perlindungan kami sehingga ribut reda.
Pada hari ini, kegiatan “mengejar ribut” telah menjadi suatu hobi kepada ramai orang dan perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Matlamatnya adalah menghampiri puting beliung dari jarak paling dekat tanpa dicederakan. Ramai pengejar ribut merupakan peramal cuaca yang mahir serta mempunyai informasi yang tepat, tetapi saya sendiri tidak mahu mendaftar untuk menyertai kegiatan ini seperti mereka.
Bagaimanapun, dari aspek moral dan rohani bagi kehidupan saya pula, dengan kurang bijak saya mudah mengejar hal-hal bahaya yang Tuhan ingin kita hindari, kerana menganggap saya tidak akan dicederakan memandangkan kasih-Nya untuk saya. Satu langkah yang lebih bijak adalah membaca kitab Amsal yang mengandungi banyak cara positif supaya kita menghindari perangkap dalam kehidupan.
“Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu,” Salomo menulis. “Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu” (Amsal 3:5-6).
Tuhan kita ialah pakar dalam pengembaraan hidup, dan mengikuti kebijaksanaan-Nya akan membantu kita memperolehi sifat Tuhan.
Bagaimanakah anda boleh percaya kepada Tuhan pada hari ini? Kongsikan di halaman Facebook kami: https://goo.gl/FFCb71