Pada tahun 1986, John Piper hampir berhenti bekerja sebagai seorang pendeta di sebuah gereja yang besar. Masa itu dia membuat pengakuan dalam jurnalnya: “Saya sangat kecewa. Saya sangat bingung. Saya berasa bahawa terdapat banyak penentang dari setiap arah.” Namun Piper tidak pernah meninggalkan pelayanannya, dan Tuhan memakainya untuk memimpin suatu pelayanan yang sangat berhasil sehingga akhirnya ia meluas jauh melebihi gerejanya sendiri.
Walaupun success (kejayaan) adalah satu perkataan yang mudah disalah fahami, kita boleh katakan bahawa John Piper telah berjaya. Tetapi bagaimana pula jika pelayanannya tidak berhasil?
Tuhan terus memanggil nabi Yeremia. “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu” dan sebelum engkau dilahirkan, aku sudah memilih dan melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.” (Yeremia 1:5). Tuhan mendorongnya supaya tidak takut terhadap musuhnya, kerana “Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu.” (ayat 8).
Yeremia kemudiannya mengesali pekerjaannya dengan kata-kata ironis bahawa dia telah mendapat panggilan dari rahim lagi. “Alangkah malangnya aku! Mengapakah ibuku melahirkan aku? Aku terpaksa bertengkar dan berbantah dengan setiap orang di negeri ini” (15:10).
Tuhan telah melindungi Yeremia, tetapi pelayanannya tidak pernah berhasil. Jemaahnya tidak pernah bertaubat. Dia melihat mereka dibunuh, diperhambakan, dan tercerai-cerai. Walau bagaimanapun, dalam menghadapi hidup yang dipenuhi kekecewaan serta penolakan, dia tidak pernah meninggalkan pelayanannya. Dia tahu bahawa Tuhan memanggilnya bukan untuk mengecapi kejayaan tetapi untuk terus taat setia. Dia tetap percaya kepada Tuhan yang telah memanggilnya. Sikap Yeremia yang tidak mudah putus semangat menunjukkan hati Bapa, yang menginginkan semua orang memandang kepada-Nya.