Pada tahun 1940, Dr. Virginia Connally yang berumur 27 tahun menghadapi bantahan dan kritikan dengan berani apabila dia menjadi pakar perubatan wanita yang pertama di Abilene, Texas. Beberapa bulan sebelum hari jadinya yang ke-100 pada tahun 2012, Persatuan Perubatan Texas memberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada dia, iaitu penghormatan tertinggi di Texas kepada seorang pakar perubatan. Antara dua peristiwa yang sangat bermakna itu, Dr. Connally juga giat menyebarkan injil ke seluruh dunia melalui lawatan misi perubatan, sambil menjalani hidup yang melayani Tuhan dan orang lain—hari demi hari.

Pastor kepada Dr. Connally, iaitu Phil Christopher berkata, “Setiap hari bagi dia adalah suatu rahmat.” Dia teringat akan sepucuk surat yang ditulis oleh Dr. Connally. Dalam surat itu, dia berkata, “Saya selalu berfikir, adakah setiap kunjungan, lawatan, usaha akan menjadi hari terakhir bagi saya? Hanya Tuhan yang tahu, dan hal ini cukup bagi saya.”

Si pemazmur menulis, “Inilah hari kemenangan TUHAN; marilah kita rayakannya dengan gembira” (Mazmur 118:24). Sering kali kita berfokus kepada kekecewaan hari kelmarin ataupun ketidakpastian hari esok, kemudian kita terlepas akan hadiah yang tidak ternilai daripada Tuhan untuk kita, yakni Hari ini!

Dr. Connally berkata tentang perjalanannya dengan Kristus, “Apabila anda menjalani kehidupan berdasarkan iman, anda tidak memikirkan hasilnya. Saya hanya melakukan perkara yang Tuhan sudah tanamkan dalam hidup serta hati saya.”

Tuhan menciptakan hari ini. Marilah kita merayakannya dan berikanlah yang terbaik kepada setiap peluang untuk melayani orang lain dalam nama-Nya.