Kami sangat memerlukan panduan daripada Tuhan. Dalam masa yang singkat, kami diminta untuk menjaga dua orang anak kecil selama 3 bulan. Ini merupakan satu keputusan yang perlu dibuat untuk masa depan mereka. Kami sendiri mempunyai tiga orang anak yang lebih tua, oleh itu, untuk menjadi ibu bapa angkat sementara kepada kanak-kanak yang masih kecil ini agak tidak sesuai dengan rancangan hidup kami. Tambahan lagi dengan dua anggota keluarga yang baru, ini memang suatu keputusan yang amat sukar dibuat. Ketika itu buku yang ditulis oleh penginjil, Amy Carmichael, mengarahkan kami kepada beberapa ayat yang kami tidak biasa baca dalam Bilangan 7.
“Saya terfikir apa perasaan puak Kehat?” Amy menulis. “Semua pemimpin lain mempunyai kereta lembu untuk mengangkat peralatan dalam khemah Tuhan melalui padang gurun. Tetapi anak-anak Kehat terpaksa menempuh jalan berbatu dan melalui pasir panas, dengan memikul ‘benda-benda suci di bawah jagaan mereka’ di atas bahu mereka. Adakah mereka merungut secara dalaman, memikirkan tugasan-tugasan lebih ringan yang diberi kepada pemimpin lain? Mungkin! Tetapi Tuhan tahu bahawa terdapat beberapa benda yang terlalu berharga dan tidak boleh diangkat oleh kereta lembu, oleh itu Dia meminta kita memikulnya atas bahu kita.”
Saya dan suami saya tahu inilah jawapannya. Kami selalu terfikir untuk menaja seorang kanak-kanak dari negara kurang maju, tetapi kami tidak pernah berbuat demikian. Hal itu semestinya lebih mudah, seperti kereta lembu tersebut. Sekarang kami mempunyai dua orang anak yang memerlukan kami “memikul” mereka di atas bahu kami kerana mereka berdua sangat berharga bagi Tuhan.
Tuhan mempunyai rancangan yang berbeza untuk setiap kita. Mungkin kita berfikir bahawa tugasan orang lain lebih mudah, atau mereka mempunyai peranan yang lebih penting. Tetapi Bapa kita yang penyayang sudah memilih kita secara khusus untuk melaksanakan tugas kita. Jadi, patutkah kita berbisik, “Saya tidak dapat melakukan tugas ini”?