Nezahualcoyotl (1402–1472) mungkin mempunyai nama yang susah disebut, tetapi namanya penuh makna. Ia bermaksud “Koyote Yang Lapar,” dan hasil penulisan lelaki ini menunjukkan kelaparan secara rohani. Sebagai seorang penyair dan pemimpin di Mexico sebelum kedatangan orang Eropah, dia menulis, “Sesungguhnya tuhan-tuhan yang saya sembah, adalah berhala yang dibuat daripada batu yang tidak bercakap atau berasa … Namun saya tahu ada tuhan yang sangat kuat, tersembunyi dan belum diketahui, dialah yang mencipta seluruh alam semesta. Hanya dia yang dapat menghiburkan saya ketika saya dalam penderitaan dan melegakan kesakitan hati saya; saya ingin dia menjadi penolong dan pelindung saya.”

Kita tidak dapat memastikan sama ada Nezahualcoyotl telah menemui Sang Pemberi Hidup. Tetapi semasa zaman pemerintahannya, dia telah membina sebuah piramid yang dipersembahkan kepada “Tuhan yang mewarnakan karya ciptaan-Nya dengan kecantikan,” dan dia mengharamkan semua perbuatan mengorbankan manusia di kotanya.

Para penulis Mazmur 42 berseru, “Aku merindukan Engkau, Allah yang hidup” (ayat 3). Setiap manusia ingin mengenali Tuhan yang benar, seperti “rusa merindukan air sungai” (ayat 2).

Pada hari ini, terdapat ramai Koyote yang “lapar dari segi jiwa” tahu bahawa berhala dalam bentuk kemasyhuran, duit, dan perhubungan tidak dapat memenuhi kekosongan dalam jiwa mereka. Tuhan yang hidup sudah menampakkan diri melalui Yesus, satu-satunya Peribadi yang dapat memberi kita kehidupan yang bermakna dan memuaskan. Ini adalah berita baik untuk mereka yang lapar akan Tuhan, Sang Pelukis yang mewarnakan ciptaan-Nya dengan kecantikan.