Pada permulaan Perang Dunia Kedua, pengeboman udara telah meratakan sebahagian besar daerah Warsaw, Poland. Blok-blok simen, paip pecah, dan serpihan kaca bersepah di setiap pelosok bandar itu. Walau bagaimanapun, di bahagian pusat bandar, terdapat sebuah bangunan yang hancur tetapi masih tegak berdiri. Bangunan itu ialah ibu pejabat bagi Lembaga Alkitab British dan Asing. Kata-kata yang masih jelas tertulis pada dinding ialah: “Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya” (Matius 24:35).
Yesus membuat kenyataan tersebut untuk menggalakkan para pengikut-Nya apabila mereka bertanya tentang “akhir zaman” (ayat 3). Tetapi kata-kata ini juga memberi keberanian kepada kita untuk mengharungi situasi sukar pada hari ini. Pada saat kita berada dalam serpihan impian kita yang musnah, kita masih dapat menemukan keyakinan dalam keutuhan karakter, kedaulatan, dan janji-janji Tuhan.
Si pemazmur menulis: “Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga.” (Mazmur 119:89). Tetapi ini bukan sahaja merujuk kepada kata-kata Tuhan; ia juga mengenai karakter-Nya. Itulah sebabnya si pemazmur juga dapat berkata, “Engkau tetap setia selama-lamanya” (ayat 90).
Apabila kita berhadapan dengan pengalaman yang dahsyat , sama ada kita menganggap keadaan ini sebagai keputusasaan atau harapan. Oleh sebab Tuhan tidak pernah meninggalkan kita dalam apa jua pun keadaan, dengan yakin kita dapat memilih untuk mempunyai harapan. Firman-Nya yang kekal meyakinkan kita tentang kasih abadi-Nya.