Satu tema utama daripada kitab 2 Samuel dalam Perjanjian Lama mungkin adalah “Hidup ini satu kecelaruan!” Kehidupan mempunyai semua elemen untuk menjadi sebuah drama televisyen yang terkenal. Apabila Daud ingin mengukuhkan pemerintahannya sebagai raja Israel, dia menghadapi cabaran daripada angkatan tentera, komplot politik, dan penganiayaan oleh para sahabat serta ahli keluarganya. Daud juga berada dalam keadaan serba salah kerana perhubungan sulitnya dengan Batsyeba (fasal 11–12).

Namun demikian, pada penghujung 2 Samuel kita mendapati Daud menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan atas belas kasihan, kasih dan pembebasan-Nya. “Ya TUHAN, Engkaulah cahayaku; Engkau menerangi kegelapanku” (22:29).

Dalam kebanyakan masalahnya, Daud berharap kepada Tuhan. “Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka” (ayat 30).

Mungkin kita juga faham akan kesusahan yang dialami Daud, kerana dia, sama seperti kita, sememangnya tidak sempurna. Namun dia tahu bahawa Tuhan adalah lebih hebat daripada kecelaruan dalam kehidupannya.

Kita boleh membuat pengisytiharan ini bersama Daud, “Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung pada-Nya” (ayat 31). Ya, Dia memang perisai kita!

Hidup kita mungkin adalah bercelaru, tetapi Tuhan adalah lebih hebat daripada segala kecelaruan itu.