Adam Minter mengusahakan perniagaan sampah. Dia ialah anak kepada seorang pemilik tempat timbunan sampah, dan dia mengelilingi dunia untuk menyelidiki bahan-bahan buangan. Dalam bukunya Junkyard Planet, dia mencatatkan sejarah tentang industri kitar semula buangan yang bernilai berbilion dolar. Dia mendapati bahawa ramai usahawan di seluruh dunia menumpukan minat dalam pencarian bahan-bahan buangan seperti dawai tembaga, kain-kain kotor dan plastik, lalu mengubah semua bahan ini menjadi sesuatu yang baharu dan berguna.
Selepas rasul Paulus menyerahkan hidupnya kepada Kristus, dia menganggap pencapaian dan kebolehannya tidak berbeza daripada sampah. Namun Kristus mengubah semuanya menjadi baharu dan berguna. Rasul Paulus berkata, “Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. … Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus dan bersatu dengan Dia” (Filipi 3:7-8). Sejak kecil Paulus telah dilatih dalam undang-undang keagamaan Yahudi, maka dia sangat marah dan kejam terhadap para pengikut Kristus (Kisah Rasul-Rasul 9:1-2). Namun setelah diubah oleh Kristus, keperibadiannya telah berubah dan dia menjadi saluran kasih Kristus kepada orang lain (2 Korintus 5:14-17).
Jika anda merasakan bahawa kehidupan anda hanya satu pengumpulan sampah-sarap, ingatlah bahawa Tuhan sentiasa menjalankan kerja pembaharuan. Apabila kita menyerahkan hidup kita kepada-Nya, Dia akan menjadikan kita orang yang baharu dan berguna bagi-Nya dan orang lain.